Free Hosting : Credit & Debt : Free Web Hosting : Best Credit Cards  

JAM/QSM Homepage

Topic/Topik
Introduction/ Pengenalan
Biographical Data  /Biodata
Pearl of Wisdom/ Mutiara Hikmah
Politics/Politik
Economy/Ekonomi
Science/Sains
Religion/Agama
Criticism/Kritikan
Philosophy/Falsafah
General/Umum
News/Berita

 

 

WANITA DAN POLITIK

Oleh : Kassim Ahmad

Saya mengucapkan terima kasih kepada pergerakan wanita UMNO Bahagian Tanjong kerana menjemput saya menulis dalam buletin mereka Naluri. Memang masyarakat Melayu kita, lelaki dan wanita, perlu kepada suatu budaya bacaan dan tulisan yang lebih tinggi dan kukuh. Mengikut kajian-kajian yang telah dibuat oleh pelbagai pihak, kita amat kurang membaca, dibanding dengan bangsa-bangsa lain. Hanya melalui bacaan, kita boleh megetahui sesuatu perkara, umpamanya ilmu pertanian; hanya dengan mengetahui dapat kita membuat sesuatu usaha, dan hanya dengan membuat, barulah kita boleh maju. Demikianlah pertalian antara membaca dengan kemajuan dan tamadun sesuatu bangsa. Bukankah perintah Tuhan yang pertama kepada kita dalam Quran ialah membaca?

Dalam ayat itu (ayat 1, Surah 96), Tuhan memerintah kita membaca seluas yang kita boleh: ilmu-ilmu ekonomi, politik, sejarah, pelbagai bidang sains, teknologi, falsafah, sastera, seni dan lain-lain. Tidak ada batasan kepada sesuatu bidang, umpamanya kepada bidang agama semata-mata. Tetapi kebanyakan orang kita menyalah-tafsir perintah ini untuk membaca dalam bidang agama saja, khasnya bidang ibadah, seperti sembahyang, doa, wirid dan sebagainya. Jika kita melawat toko-toko buku Melayu, buku-buku jenis inilah yang banyak terdapat. Jarang-jarang sekali kita tersua dengan buku-buku sejarah, sains dan falsafah, sedangkan buku-buku inilah yang akan membawa kita kepada kemajuan.

Dalam ayat itu (96:1), hanya satu syarat sahaja yang Tuhan kenakan kepada kita, iaitu hendaklah kita baca dengan nama Tuhan yang menjadikan, yakni apabila kita membaca sesuatu buku, hendaklah kita tapis isi buku itu dengan menolak isi-isi yang batil dan hanya menerima isi-isi yang benar. Dengan perkataan lain, hendaklah kita membaca segala sesuatu secara kritikal, mengambil yang baik dan membuang yang buruk.

Bagaimana kita boleh tahu yang baik daripada yang buruk, yang benar daripada yang batil ? Kita hanya boleh tahu ini dengan berbalik kepada ajaran Tuhan. Umpamanya, tidak lama dulu, masyarakat kita tersua dengan peristiwa Arqam. Kononnya, pemimpin Arqam, Asaari Mohamad, mempunyai ilmu ghaib dan berinteraksi dengan Nabi Muhammad. Jika orang-orang Islam faham ilmu tauhid yang diajar oleh Tuhan kepada kita dalam Quran, kita tahu bahawa perkara itu karut semata-mata. Tidak ada konsep ilmu ghaib. Semua ilmu diperolehi melalui pemerhatian, penyelidikan dan kajian. Orang yang sudah mati tidak boleh berhubung dengan orang yang masih hidup, atau sebaliknya. Perkara-perkara ini ditolak oleh Quran.

Jika orang-orang Islam di Malaysia mempunyai asas ilmu tauhid seperti yang diajar dalam Quran, peristiwa Arqam tidak boleh berlaku. Bukan saja peristiwa Arqam, banyak lagi peristiwa lain yang bercorak khurafat tidak boleh berlaku. Demikianlah pentingnya budaya membaca kepada kemajuan dan tamadun sesuatu bangsa.

Dari sini saya ingin beralih kepada peranan kaum wanita dalam politik dan masyarakat.

Politik ialah kuasa untuk mentadbirkan masyarakat dan negara. Jadi, politik itu perlu bagi kita. Jika kita sendiri tidak mentadbirkan negara kita, bangsa lain (penjajah) akan mentadbirkan negara kita.

Ada sesetengah kalangan mengatakan politik itu kotor. Dia silap. Politik tidak kotor; yang mengotorkan politik ialah orang-orang politik yang ingin menggunakan politik untuk kepentingan diri dan puak mereka. Orang-orang politik yang baik mesti menggunakan politik untuk membangunkan masyarakat dan bangsa.

Pendek kata, wujud dua jenis politik: politik kebangsaan untuk membangunkan bangsa, dan politik penjajahan yang akan menghancurkan bangsa.

Kaum wanita separuh daripada rakyat Malaysia. Mereka mesti memainkan peranan yang aktif dan membina. Jika tidak, bangsa kita akan rugi, seolah-olah seseorang itu bergerak dengan sebelah tangan dan sebelah kaki saja. Dasar PAS menghalang kaum wanita daripada memainkan peranan yang aktif dalam masyarakt silap. Dasar ini tidak berpunca dari ajaran Islam; ia berpunca dari sistem feudal yang menghalang kaum wanita dari mendapat pelajaran serta memainkan peranan yang aktif dan sama dengan kaum lelaki dalam bidang-bidang ekonomi, politik, pendidikan, kebudayaan dan sains.

Tetapi untuk kaum wanita, sepertimana juga kaum lelaki, memainkan peranan yang sepenuhnya dalam politik dan dalam masyarakat, mereka mestilah mempunyai ilmu yang sesuai untuk peranan-peranan itu. Jika kita tidak mempunyai ilmu tentang bagaimana hendak membangunkan politik parti dan politik bangsa, bolehkah kita berbuat demikian ? Mustahil !

Seperti yang saya katakan di atas, tujuan politik kita ialah untuk membangunkan masyarakat dan bangsa dari semua segi : ekonomi, pendidikan, sains, teknologi, sastera, seni dan falsafah. Ini kita namakan politik kebangsaan, politik yang dibawa oleh UMNO. Ada satu lagi jenis politik, iaitu politik kolonial atau penjajahan, iaitu kebalikan daripada politik kebangsaan. n. Politik kebangsaan bertujuan untuk membangunkan bangsa; politik penjajahan bertujuan untuk menghancurkan bangsa.

Inilah dua jenis politik, dua garis politik yang harus kita ketahui dulu. Tanpa pengetahuan ini, kita tidak boleh mengatakan kita faham politik.

Dalam aliran politik kebangsaan, mungkin ada beberapa pecahannya. Pecahan-pecahan ini, apa juga nama yang dipakai untuk parti-parti itu, boleh bergabung dan bekerjasama untuk membangunkan bangsa dan menghalang bangsa kita daripada dijajah semula. Mana-mana pecahan yang tidak sanggup bergabung dan bekerjasama bermakna ia tidak faham konsep politik kebangsaan dan boleh diperalatkan oleh kaum penjajah baru Inggeris-A.S.

Mengapa saya tidak menyebut politik Islam ? Saya orang Islam dan saya mahu falsafah Islam dijadikan landasan politik kebangsaan, yakni politik rakyat Malaysia. Oleh kerana masyarakat Malaysia masyarakat majmuk, yang mengandungi pelbagai agama, maka landasan politik berdasarkan agama (secara sempit dan formal) akan memecah-belahkan masyarakat. Pengikut-pengikut agama-agama lain akan menuntut supaya falsafah-falsafah agama mereka juga dijadikan landasan.

Agama Islam menyuruh kita memerintah negara dengan adil, melalui mesyuarah, dan dengan melantik pemimpin-pemimpin yang layak dari segi moral dan ilmu. Sekiranya, kita berbuat demikian (dan demikianlah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad apabila beliau memerintah kota Madinah melalui Piagam Madinah setelah beliau berhijrah ke kota itu), kita sebenarnya telah menunaikan tanggungjawab kita sebagai orang Islam dalam bidang pemerintahan. Tidak perlu kita menamakan kita parti Islam, seperti yang dibuat oleh PAS.

Sesetengah orang salah faham tentang hubungan Islam dengan kebangsaan. Islam itu fahaman atau pegangan, sedangkan bangsa itu keturunan. Kita dilahirkan sebagai bangsa Melayu (dan kita sedang dalam proses membungunkan sesebuah bangsa baru, bangsa Malaysia) tetapi pegangan kita Islam. Bangsa Melayu itu dijadikan Tuhan, sepertimana bangsa-bangsa lain juga dijadikan Tuhan. Bangsa Melayu yang telah berjuang untuk menubuhkan sebuah negara-bangsa yang merdeka bernama Malaysia memang dituntut oleh Islam, kerana kita tidak boleh membangunkan bangsa Melayu atau bangsa Malaysia tanpa kita bebas dari penjajahan. Kebangsaan dan keislaman tidak bertentangan.

Kita sedang melalui satu krisis politik berhubung dengan pemecatan Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Presiden UMNO dan bekas Timbalan Perdana Menteri. Sebenarnya ini tidak harus menjadi satu masalah besar kepada UMNO atau negara. UMNO sebagai sebuah parti politik berhak memecat mana-mana anggota atau pegawai parti mengikut undang-undangnya. Perdana Menteri pula berhak memecat mana-mana menterinya, jika sekiranya beliau berfikir menteri itu tidak layak lagi memegang jawatan itu.

Tetapi, malangnya, pemecatan beliau telah mencetuskan huru-hara. Nasib baik, berkat ketegasan polis kita dan pimpinan negara kita, huru-hara ini dapat dibendung. Soalnya, mengapa sebahagian rakyat kita telah bertindak di luar undang-undang untuk menggulingkan Kerajaan pimpinan Dr. Mahathir berhubung dengan perkara ini? Jawapannya tidak susah dicari. Sejak Julai 1997, Dr. Mahathir telah mengkritik hebat sistem kewangan antarabangsa pasaran bebas yang ditaja dan didukung oleh kaum penjajah baru Inggeris-Amerika. Baru-baru ini Kerajaan kita menyusuli kritikan-kritikan itu dengan mengambil tindakan-tindakan mengawal sistem pasaran bebas itu. Ia juga telah mengambil tindakan politik memecat Anwar Ibrahim yang menjadi pendukung kepada sistem penjajahan baru mereka. Ini semua menyebabkan Dr. Mahathir dan negara kita menjadi sasaran serangan-serangan media utama Barat (yang mereka kuasai) yang bertubi-tubi. Kita juga telah melihat sendiri kecaman-kecaman keras terhadap Dr. Mahathir oleh pemimpin-pemimpin tinggi mereka dan sokongan kuat mereka terhadap Anwar Ibrahim.

Inilah yang menjadi punca utama krisis politik yang sedang berlaku di negara kita sekarang. Siapa yang tidak melihat hakikat ini tidak tahu undang-undang pertama politik.

Malangnya, sesetengah parti politik kita, khasnya PAS dan DAP, dan sesetengah pertubuhan NGO, yang sepatutnya berusaha memperkuatkan asas-asas kebangsaan negara kita, kerana kepentingan-kepentingan politik sempit mereka, telah masuk perangkap kaum penjajah baru Inggeris-Amerika. Ini telah menyebabkan sesetengah orang Melayu sendiri bertindak liar untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan nasional yang beliau pimpin. Kumpulan-kumpulan ini menggunakan alat-alat fitnah dan pembohongan yang mereka sebarkan melalui pelbagai cara.

Orang-orang Melayu, termasuk kaum wanita, harus sedar, seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri kita di Alor Setar baru-baru ini, bahawa negara kita tidak boleh dihancurkan oleh sesiapa kecuali dengan penyertaan orang-orang Mealyu sendiri. Inilah yang sedang dilakukan oleh kaum penjajah Inggeris-A.S. Sepertimana selama dua puluh tahun, melalui pelbagai cara, mereka cuba menggulingkan pemimpin Iraq Presiden Saddam Hussein dan negara Iraq, kerana Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein menjadi benteng kebal pertahanan bangsa Arab dari penjajahan mereka, demikianlah mereka akan lakukan kepada mana-mana negara yang tidak tunduk kepada mereka.

Tetapi, kita tidak harus lupa bahawa yang paling berkuasa di dunia ini bukan kaum penjajah Anggeris-Amerika, tetapi Tuhan. Selagi kita berpegang teguh kepada Tuhan dan selagi rakyat Malaysia bersatu menyokong kerajaan Dr. Mahathir yang berada di landasan yang betul, selagi itu kaum penjajah ini tidak akan berjaya. Sebaliknya, rakyat Malaysia akan mencapai kejayaan-kejayaan yang lebih besar.

(Tamat)