Free Hosting : Credit & Debt : Free Web Hosting : Best Credit Cards  

JAM/QSM Homepage

Topic/Topik
Introduction/ Pengenalan
Biographical Data  /Biodata
Pearl of Wisdom/ Mutiara Hikmah
Politics/Politik
Economy/Ekonomi
Science/Sains
Religion/Agama
Criticism/Kritikan
Philosophy/Falsafah
General/Umum
News/Berita

 

 

 KEBUSUKAN DARI SEBUAH NEGARA BUSUK

SHAHNON AHMAD

Oleh: Kassim Ahmad

Karya Shahnon Ahmad yang baru, Shit, menjadi heboh bukan sangat kerana kelucahan dan kekesatan bahsanya (yang memang pun lucah dan kesat), tetapi lebih-lebih kerana ia sebuah proganada anti-Mahathir dan pro-Anwar dalam kancah pergolakan politik hebat di negara kita sekarang. Seperti yang telah saya katakan di tempat lain, Anwar Ibrahim, sebagai seorang ahli politik dan bekas pemimpin, tidak sehebat mana, dan pengaruhnya amat terbatas, kerana kebolehannya sangat terbatas. Tetapi Anwar sebagai suatu faktor untuk menjatuhkan Mahathir memang dapat dilihat oleh semua orang yang tidak menutup matanya sebagai disokong oleh kaum penjajah baru Inggeris-Amerika (inilah kekuatan Anwar yang utama) dan disokong pula oleh tenaga-tenaga oporcunis dalam negeri yang terdiri dari PAS, golongan `ulama’ dan golongan hak asasi manusia tajaan Barat.

Satira politik, seperti Hikayat Merong Mahawangsa, cerita peminangan Puteri Gunung Ledang dalam Sejarah Melayu, Tikus Rahmat dan Putera Gunug Tahan, dalam sastera Melayu , dan Gulliver’s Travels dan Animal Farm, dalam sastera Eropa, adalah cerita-cerita politik yang bersifat ibarat dan bertujuan menyindir dan mengkritik pergolakan semasa. Namun demikian, keadaan yang dikritik itu mestilah tepat dan objektif dan bukan propaganda sesuatu pihak. Perihal Shit dikecam oleh, antara lain, beberapa pemimpin UMNO dan dipuji oleh, antara lain, beberapa pemimpin PAS membuktikan bahawa ia berhubung dengan pergolakan politik semasa di negara kita. Sebagai sebuah karya sastera, nilainya boleh dipertikai

Ceritanya sangat mudah. Sebuah negara tahi, diperintah oleh seorang ketua barisan tahi telah menjadi begitu busuk ("lagi membusukkan" -- Shahnon mengulang frasa ini barangkali tidak kurang daripada seratus kali!) sehingga menyebabkan rakyatnya begitu meluat kepada ketuanya dan ingin menyikirkan dengan apa cara jua pun, hatta melalui revolusi. Lalu muncul seorang wira, bernama Wirawan, asalnya pengikut ketua parti tahi itu, yang bercita-cita untuk menggulingkannya dan menggantikan sistem tahi dengan sebuah sistem ketuhanan yang berdasarkan "keindahan, keimanan, keadilan dan keikhlasan" (hlm. 240). Komplot beliau diketahui oleh ketua tahi lalu dia disingkir dari pemeritahan dan parti tahi. Beliau disambut oleh rakyat yang ingin menggulingkan ketua tahi yang sudah tua, nyanyok, bersifat diktator, dan korup. Lalu ketua tahi dan menteri-menteri digulingkan melalui suatu gerakan raksasa reformasi rakyat.

Sesiapa yang boleh membaca novel ini hingga habis (suatu perkara yang sukar, kerana sangat membosankan) boleh melihat dengan jelas sifat propagandanya. Propaganda itu terang-terang anti-Mahathir dan pro-Anwar, walaupun penulis menafikan hubungan cerita ini dengan sesiapa yang hidup atau mati. Urutan cerita hingga heronya tersingkir persis mengikut apa yang telah berlaku, tetapi penyingkiran ketua tahi dan pendaulatan Wirawan adalah impian pengarangnya sendiri. Ini menunjukkan bahawa novel ini telah dimulakan sejurus selapas Anwar disingkir pada 2 September tahu sudah, tetapi penamatan ceritanya sudah dipalsukan oleh realiti mungkin sebelum buku ini keluar dari mesin cetak!

Sejarah peribadi penulis Shahnon bermula dengan tahap nasionalis Melayunya dengan novel-novel Menteri (1967), Protes (1967) dan Perdana (1969), termasuk juga Ranajau Sepanjang Jalan. (1966) Tahap ini memuncak dengan beliau mengisytiharkan perjuangan "Kekuatan Melayu" (mengmabil ilham dari "Kekuatan Kaum Kulit Hitam" di A.S.) ketika beliau mengetuai persatuan penulis Kedah, GATRA, dalam 1969. Tahap kedua ialah tahap sastera Islam dengan terbitnya risalah beliau Kesusteraan dan Etika Islam (1981). Risalah ini telah saya ulas dalam sebuah artikel dalam majalah Dewan Sastera (November, 1982), yang mencetuskan sebuah polemik yang panjang antara beliau dengan saya tentang konsep sastera Islam. Inilah juga masanya beliau menganggotai pertubuhan dakwah, Al-Arqam, kemudian meninggalkan Arqam serta menghasilkan beberapa buah novel (Tok Guru, 1989, Ummi dan Abang Sheikhul, 1990 ? ) yang mendedahkan penyelewengan kepimpinan pertubuhan itu. Tahap penulisannnya yang akhir ialah sasatera aliran PAS. Shit tergolong ke dalam tahap ini.

Tidak syak lagi, Shahnon seorang penulis yang gigih. Tidak syak lagi juga, beliau seorang penulis yang menundukkan karya sasteranya kepada ideologi politik semasanya. Banyak novelnya tidak lebih dari wahana untuk menyampaikan fikiran politiknya dan nilai sasteranya tipis sekali. Umpamanya, novelnya yang mendapat sanjungan antarabangsa, Ranjau Sepanjang Jalan, tidak lebih dari sebuah rakaman pesimisme, sebuah keluhan dan teriakan kaum petani Melayu yang ditemukan Shahnon dengan maut. Dengan Shit, Shahnon mencadangkan kepada rakyat Malaysia supaya kita menyelesaikan masalah-masalah kita melalui gabungan falsafah kaum penjajah baru Inggeris-Amerika dan oporcunisme PAS!

Untuk membela Shahnon, sesetengah orang, termasuk pengkritik dan pemimpin politik, sanggup berkata bahawa mencarut dan menggunakan bahasa kesat dan lucah itu sebagian daripada kehidupan kita dan tidak salah dimasukkan ke dalam sebuah novel. Memang kita kadang-kadang mencarut dan menggunakan perkataan lucah dan kesat, tetapi menjadikannya asas dan tujuan penulisan kita satu perkara lain sama sekali. Kedua-duanya tidak sama.

Tetapi kelucahan bukanlah satu perkara yang luarbiasa dalam novel-novel Shahnon. Yang paling ketara ialah dalam novel-novel Tok Guru, Ummi dan Abang Sheikhul dan Tivi. Dalam Shit, mungkin Shahnon telah melebihi Shahnon yang biasa!

Setelah menulis selama lebih dari tiga puluh tahun, tangan Shahnon telah menjadi pakar menggolek, melagang, melentok dan melarikan bahasanya seperti dalang memainkan patung-patung wayang kulit di sebalik tabir. Jika ceritanya membosankan dan baunya busuk, bahasa yang segar ini kadang-kadang menyelamatkan buku ini dari dikesampingkan terus. Propaganda dan kebusukan ini menjatuhkan martabad Shahnon sendiri sebagai seorang penulis yang berwibawa dan dihormati.

(TAMAT)