Free Hosting : Credit & Debt : Free Web Hosting : Best Credit Cards  

JAM/QSM Homepage

Topic/Topik
Introduction/ Pengenalan
Biographical Data  /Biodata
Pearl of Wisdom/ Mutiara Hikmah
Politics/Politik
Economy/Ekonomi
Science/Sains
Religion/Agama
Criticism/Kritikan
Philosophy/Falsafah
General/Umum
News/Berita

 

Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Pengasih

JEMA’AH AL-QURAN MALAYSIA

80 Jalan Gajah, 11200 Tg. Bunga, Pulau Pinang, Malaysia

TEL. 604-8991155. FAKS. 8999073. 

Mel-e: <kassim@pc.jaring.my>

3 Februari, 20000.

Kepada:

Anggota-anggota Jawatankuasa Penaja Pusat & Negeri & Jemputan Di tempat masing-masing.

…………………….

…………………….

…………………….

…………………….

 

Sdr/i Yth.

Surat Ketua No. 31

Usrah Ke-30 & Majlis Tahlil

Assalamu `alaikum.

1.Tahun Baru,  Azam Baru    

Mengikut taqwin Kristen yang kita juga pakai, kita baru saja memasuki abad ke-21 dan alaf baru.  Mengikut taqwin Islam, kita akan memasuki tahun 1421 sebulan lagi. Apakah peredaran matahari,  bulan dan bintang ada pengaruh dalam kehidupan kita? Mengikut ilmu astrologi, ada. Walau apapun jawapannya, kita tidak harus lupa bahawa manusia dijadikan Tuhan sebagai khalifah di bumi, yakni dia raja yang mampu menentukan nasibnya sendiri. Kebanyakan negara Islam hari ini duduk di bawah pengaruh kaum penjajah Inggeris-Amerika dan tidak boleh menentukan nasibnya sendiri. Sebaliknya, umat Islam awal menjadi raja, malah memimpin dnuia, selama enam ratus tahun dari abad kesembilan hingga abad kelima belas.

Apakah bezanya antara umat Islam dulu dengan umat Islam sekarang? Dulu, dengan berpandukan ajaran Quran yang membebaskan mereka dari sebarang kongkongan kuasa palsu, mereka bersemangat waja,  berjuang tanpa takut untuk menegakkan kebenaran, berlumba-lumba untuk mencari ilmu dan membuat kebaikan. Oleh sebab itu, mereka berjaya.  Umat Islam sekarang, dengan mengabaikan ajaran Quran serta mengamalkan ajaran-ajaran lain yang menyeleweng, mereka berpecah-belah, menjadi lemah, jahil dan undur dan mereka dijajah oleh bangsa-bangsa lain.

Jalan keluar daripada kemelut ini mudah, yaitu kembali kepada ajaran Quran yang kebal, tetapi nampaknya begitu sukar untuk dilaksanakan. Mengapa? Kerana umat Islam sendiri telah kehilangan Islam dan tidak mahu kepada Islam, walaupun pada tutur mereka, mereka mahu kepada Islam. Dalam pada itu, dalam dada mereka telah tertanam ketakutan kepada kaum penjajah, yang menghalang mereka daripada kembali kepada ajaran Quran.

Kita satu kumpulan yang telah diberi hidayah oleh Tuhan untuk kembali kepada ajaran-Nya yang sebenar. Kita tidak mendakwa kitalah kumpulan yang paling baik atau yang paling pandai. Tetapi setakat kemampuan kita, kita telah menyeru supaya umat Islam di negara kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Walaupun kita belum mencapai kejayaan, kita tidak harus kecewa, kerana orang mukmin tidak pernah kecewa.

Dalam tahun dan abad  baru ini, kita mesti memperkuat azam kita untuk meningkatkan seruan kita. Insyallah, pada tahun ini kita akan menerbitkan buku tentang gerakan kita dari kumpulan dokumen kita yang banyak. Sdr Abdul Aziz Ahmad telah sanggup untuk menyusun dan mengedit bahan-bahan itu. Saya harap buku ini dapat diterbitkan seberapa segera dalam tahun ini juga.

Kita ada dua tiga rancangan lain yang sedang kita kaji untuk dilaksanakan dalam tahun ini.

2. Hari Raya Korban

Sedikit hari lagi sesetengah umat Islam akan mengerjakan ibadah haji di tanah suci. Ibadah ini difardukan kepada mereka yang mampu dari segi kewangan dan kesihatan. Tujuannya ialah untuk memperingati peristiwa Nabi Allah Ibrahim dan Ismail mendirikan Rumah Allah yang pertama di sini lebih dua ribu tahun dulu dan peristiwa korban Ibrahim. Sebagai ujian, Tuhan telah memerintahkan Nabi Ibrahim supaya mengorbankan anaknya Ismail, dan kedua-duanya, bapa dan anak, rela untuk melakukan perintah itu. Tetapi, Tuhan, dalam kerahiman-Nya, telah menggantikan Ismail dengan seekor binatang.  Inilah yang kita warisi sebagai ibadah atau adat korban hari ini. Malangnya, ibadah ini sekarang dilakukan tanpa menyedari makna korban dalam kehidupan seorang Muslim.

Korban besar maknannya dalam Islam, kerana perjuangan untuk menegakkan kebaikan dan menghalang kejahatan, yang disuruh oleh Isam, memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan, tidak akan ada kejayaan.  Dalam surah 9, ayat 111, kita membaca: "Tuhan telah membeli daripada orang mukmin jiwa-raganya dengan balasan Firdaus. Mereka berperang di jalan Allah, sanggup membunuh dan dibunuh. Inilah janji-Nya yang benar dalam Taurat, Injil dan Quran. Siapakah yang menunaikan janjinya lebih baik daripada Allah? Bergembiralah dengan pertukaran yang kamu lakukan. Inilah kemenangan yang paling besar." Dalam tiap-tiap sembahyang, kita membuat iqrar: "Sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku untuk Tuhan seru sekalian alam." (Quran, 6:162)

Mari kita ambil satu contoh dari politik antarabangsa. Iraq, sebuah negara Islam, telah didera oleh kaum imperialis Inggeris-Amerika dengan satu sekatan ekonomi yang dahsyat selama sepuluh tahun. Kira-kira satu setengah juta rakyat Iraq, kebanykannya kanak-kanak dan orang tua, telah mati dalam masa ini, kerana kekurangan obat-obatnya dan makanan yang berkhasiat. Namun demikian, sekatan ini sudah tidak sah lagi dari segi undang-undang antarabangsa, kerana Iraq sudah lama keluar dari Kuwait. Mengapakah negara-negara Islam tidak bersatu untuk memaksa Amerika dan Inggeris menarik balik sekatan ini?

Demikianlah umat Islam sudah meninggalkan Islam dan meninggalkan perjuangan untuk menegakkan keadilan di dunia.

Sebaliknya, jika satu bilion umat Islam bersatu, mereka boleh menghapuskan sistem imperialis Inggeris-Amerika dari muka bumi ini serta membebaskan seluruh manusia dari cengkaman sistem ini. Bayangkan kebahagian yang akan dicapai oleh manusia dalam dunia yang bebas dari penindasan imperialisme dari keadaan kacau-bilau dan huru-hara yang dahsyat yang wujud sekarang!

3. Usrah JAM yang ke 30 dan Majlis Tahlil    

Usrah kita yang ke-30, yang pertama tahun ini, akan diadakan pada 11 Mac (Sabtu, bukan Ahad seperti biasa) mulai pukul 4.30 petang di No. 14, Ting. 1, Blok 123, Wisma KGN, Pengkalan Weld, 10300 Pulau Pinang (dekat dengan pejabat Koperasi Pelaut P. .Pinang).  Usrah ini penting kerana kita hendak membincang prestasi kita tahun lalu dan merancang kerja kita tahun ini. Oleh itu, jangalah menguzurkan diri dan hadirlah beramai-ramai.

Sebab yang kita buat pada hari Sabtu ialah untuk membolehkan anggota-anggota kita turut serta dalam satu majlis kenduri arwah dan kesyukuran yang ingin saya buat pada malam itu. Majlis ini akan bermula pada pukul 8.0 malam. Dengan segala hormatnya, Sdr/i  dipersilakan ke majlis ini.

Dengan salam sejahtera.

Yang ikhlas,

(Kassim Ahmad)                   

 s.k. Sdr Setiausaha