Free Hosting : Credit & Debt : Free Web Hosting : Best Credit Cards  

JAM/QSM Homepage

Topic/Topik
Introduction/ Pengenalan
Biographical Data  /Biodata
Pearl of Wisdom/ Mutiara Hikmah
Politics/Politik
Economy/Ekonomi
Science/Sains
Religion/Agama
Criticism/Kritikan
Philosophy/Falsafah
General/Umum

 

UMAT ISLAM PERLU KEMBALI

KEPADA AJARAN NABI MUHAMMAD

YANG SEBENAR DALAM QURAN

Oleh: Kassim Ahmad

Drama t.v. "Suci" yang ditayangkan pada 27 Mac lalu membuat saya berfikir tentang amalan agama Islam di negara kita. Fikiran ini dengan serta-merta membuat hubungan dengan banyak peristiwa tragik dalam masa sepuluh tahun yang lalu, termasuk peristiwa tragik Al-Arkam (yang diceritakan oleh Zabidi Mohamed, bekas penasihat undang-undang pertubuhan itu, dalam Mingguan Malaysia keluaran 21 Mac) dan peristiwa penentangan masyarakat kita terhadap seruan untuk kita kembali kepada Quran pada tahun-tahun 1986 dan 1995, yang melibatkan penulis ini.

Mengapakah seorang ayah Melayu yang wara’ tidak boleh menerima anak yang ingin berkahwin dengan seorang gadis keturnan Cina yang mahu memeluk Islam? Penolakan ini diteruskan hingga anak itu berkahwin dan sehingga si-ayah hendak bertolak ke tanah suci. Mengapa si-ayah itu bertindak begitu keras dan bengis? Nampaknya, alasan beliau ialah agama, bukan kaum: "keislaman anak gadis Cina itu tidak sempurna". Alasan ini tidak menasabah, kerana menantunya itu nyata seorang yang baik dan jujur. Tetapi ukuran si-ayah itu, nampaknya, semata-mata berdasarkan pelakuan ibadah-ibadah agama, khasnya sembahyang.

Apa yang nyata ialah sikap taksub dan fanatik si-ayah kepada fahaman agamanya sehingga dia sanggup membuang anaknya sendiri dan menantunya, walaupun mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan dari segi agama. Dari segi si-ayah, anaknya telah membuat kesalahan kerana ingkar untuk patuh kepada fahaman agamanya yang sempit.

Dalam kes pertubuhan Arkam, kita tahu pertubuhahan ini mengisi suatu kekosongan dalam jiwa masyarakat Islam pada waktu itu, waktu keruntuhan dua sistem materialis di dunia, iaitu sistem komunis dan sistem kapitalis. Namun demikian, Arkam juga tumbuh dan subur dalam suasana taksub dan taklid kepada pemimpinnya. Akhirnya, setelah melakukan banyak kerosakan kepada jiwa sesetengah pemuda-pemudi dalam masyarakat kita selama dua puluh tahun, tindakan diambil untuk mengharamkan Arkam.

Apakah soalan yang ditimbulkan oleh drama "Suci" itu dan Arkam, dan banyak lagi peristiwa tragik, seperti ini? Kita tahu dan yakin Islam tidak salah, kerana ia agama yang diredai Tuhan. (Lihat Quran, 3:19) Jadi, di mana salahnya? Adakah dalam pemahaman dan amalan Islam kita, seperti yang telah saya bayangkan? Cerdik pandai (saya gunakan perkataan "cerdik-pandai" dan tidak perkataan "ulama", kerana perkataan "ulama" telah disalah-ertikan) kita perlu mengkaji perkara ini dengan lebih serius.

Bila kita memperluaskan soalan ini ke peringkat politik orang Islam di Malaysia sekarang, kita tersua dengan gejala yang sama -- fahaman taklid dan taksub kepada puak dan pemimpin mereka. Tuduh-menuduh dan fitnah-memfitnah antara puak yang berbeza fahaman agama menjadi amalan biasa, dan ini akan membawa kepada perpecahan, kelemahan dan kegagalan, sama seperti gagalnya watak utama dalam drama "Suci" itu dan kepada Arkam.

Kita perluaskan masalah ini ke peringkat antarabangsa. Kita juga dapati hal sama. Umat Islam tidak berjaya. Umat-umat lain (Yahudi, Kristen, Buddhis dll.) lebih berjaya. Mengapa?

Tetapi, pada zaman awal Islam, zaman Muhammad, zaman khlifah-khalifah al-rasyidun sehingga kira-kira tiga ratus tahun, umat Islam berjaya menubuhkan sebuah tamadun yang besar dalam sejarah. Pemimpin dan cerdik pandainya menerokai bidang-bindang pentadbiran, pemerintahan dan ketenteraan dan pembangunan ekonomi, sosial dan intelek. Oleh yang demikian, kita perlu menyelidik apakah yang ada pada umat Islam pada masa itu yang tiada pada kita hari ini.

Dua perkara agak nyata. Pada zaman permulaan itu, kita mempunya semangat jihad yang kuat. Semangat ini ditanam dan dipukuk oleh Nabi Muhammad sendiri, berdasarkan ajaran-ajaran Quran. Umat Islam beperang untuk menegakkan kebebasan beragama dan keadilan. Mereka menumpaskan empayar-empayar besar pada zaman itu, Parsi dan Rome, serta membebaskan penduduk-penduduk mereka dari penindasan sistem feudal empayar-empayar itu. Ini perkara nyata yang pertama, yang pada hari boleh dikatakan tiada pada umat Islam.

Kedua, umat Islam pada zaman awal bekerja kuat untuk membangun pentadbiran, ekonomi, sosial dan intelek masyarakat mereka. Oleh sebab itu, Islam telah dapat mewariskan kepada dunia Eropah suatu tamadun saintifik besar yang tidak pernah wujud sebelum itu. Mereka tidak membezakan antara ilmu dunia dan ilmu akhirat. Mereka tidak membezakan antara pembangunan sekular dan pembangunan spiritual. Kedua-dua dunia ini satu bagi mereka dan mereka menggabungkan kedua-duanya dan tidak memisahkan antara satu sama lain.

Pada hari ini, kaum penjajah telah berjaya menghapuskan semangat jihad dari jiwa umat Islam. Tujuan kaum penjajah ialah supaya kita menerima dan tidak menentang sistem perhambaan mereka. Mana-mana negara Islam yang berani bangun menentang mereka akan mereka kenakan pelbagai macam tindakan: dari tindakan-tindakan politik, hingga ke ekonomi dan hingga ke ketenteraan. Sejarah kolonial penuh dengan darah pejuang-pejuang pribumi Islam yang bangun menentang mereka di merata tempat. Hari ini kita lihat bagaimana mereka memperlakukan terhadap Iraq, Palestin, Bosnia, Sudan, Iran, Libya, Afghanistan dan Malaysia sendiri.

Untuk mengelak daripada umat Islam bersatu menentang mereka, mereka bawa dasar "pecah-pecah dan perintah". Demikianlah mereka menghasut peperangan antara Iran dan Iraq. Demikianlah mereka memecah-belahkan bangsa Arab melalui sogokan dan ugutan. Di Malaysia sekarang mereka sedang bergiat untuk memecah-belah orang Melayu dengan menggunakan pemobohongan dan fitnah.

Untuk memantapkan lagi strategi mereka untuk menguasai kita, mereka bukan saja membuat rancangan-rancangan membunuh semangat jihad, menghasut perpecahan dan menghalang perpaduan di antara kita, mereka juga mengajar kita supaya menyerahkan dunia ini untuk ditadbirkan oleh mereka dan kita digalakkan membuat ibadah untuk akhirat semata-mata. Maka timbullah bermacam-macan pertubuhan "Islam" untuk menyelewengkan kita daripada agama Islam yang sebenar, yang mengajar kehidupan yang aktif dan dinamik dan semangat perjuangan revolusioner, kepada kehidupan pasif dan beku dan tunduk kepada kaum penjajah baru, Inggeris-A.S. Demikianlah timbul pelbagai macam ajaran, yang tentunya disajikan atas nama Islam oleh orang-orang Islam sendiri, tetapi yang nyata bertentangan dengan ajaran-ajaran Quran, seperti membelakangkan dunia dan menumpu kepada akhirat semata-mata, takut untuk berjuang menentang penjajahan Inggeris-A.S., membuat puak dan berpecah-belah, taklid dan taksub kepada pemimpin dan menyibarkan pembohongan dan fitnah untuk untuk menimbulkan kebencian sesama Islam.

Tuhan mengajar kita bahawa Quran itu sebuah kitab yang lengkap dan sempurna, yang kebal dan tidak boleh diragukan dan yang mengandungi ajaran-ajaran yang boleh mengeluarkan kita dari kegelapan kepada cahaya. Oleh itu, umat Islam di Malaysia perlulah kembali kepada ajaran ini, satu-satunya ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad dan yang dijamin oleh Tuhan Sendiri, supaya kita boleh mengeluarkan bangsa kita dari pelbagai delima yang sedang kita hadapi sekarang.

(Tamat)