Free Hosting : Credit & Debt : Free Web Hosting : Best Credit Cards  

JAM/QSM Homepage

Topic/Topik
Introduction/ Pengenalan
Biographical Data  /Biodata
Pearl of Wisdom/ Mutiara Hikmah
Politics/Politik
Economy/Ekonomi
Science/Sains
Religion/Agama
Criticism/Kritikan
Philosophy/Falsafah
General/Umum
News/Berita

 

UMAT ISLAM MESTILAH BERANI

KELUAR DARI KEJUMUDAN MEREKA

Oleh: Kassim Ahmad

Baru-baru ini sebuah cerita lama telah menjadi heboh lagi, iaitu kesahihan Hadis. Sebuah pertubuhan di Kota Bharu, Kelantan, mendakwa bahawa media masa kita sedang menyibarkan secara meluas hadis-hadis palsu, yang tidak terkandung dalam kitab-kitab hadis sahih, tentang fadilat sembahyang sunat terawih. Kita hairan mengapakah perkara-perkara kecil, seperti sembahyang sunat, boleh menimbulkan masalah bagi sesetengah umat Islam kita di Malaysia. Bukankah banyak perkara besar, seperti perpecahan dan kemunduran umat Islam, yang patut mendapat perhatian pemimpin dan cerdik pandai kita?

Perkara ini sudah berlarutan begitu lama dalam masyarakat Islam, sejak munculnya perdebatan antara Imam Shafie dan pengikut-pengikutnya dengan kaum Mu`tazilah dalam abad kedua Islam. Dari tarikh itu hingga hari ini perkara definisi hadis sahih menjadi perbalahan yang tidak pernah habis. Apabila penulis ini membuat cadangan supaya masyarakat Islam menilai semula Hadis dari neraca Quran, beliau dikritik hebat dan dituduh "anti-Hadis" (satu tuduhan yang tidak benar); malah ada yang mencap beliau `murtad’. Tidakkah terfikir oleh cerdik pandai kita bahawa membuat tuduhan terhadap orang yang tidak sependapat dengan kita tanpa memberi satu jalan penyelesaian yang adil tidak akan menyelesaikan masalah kita?

Seorang pemimpin agama kita, Imam Besar Mesjid Negara, Ustaz Taib Azamuddin Mohd. Taib, menyarankan supaya perkara hadis palsu tentang fadilat sembahyang terawih diselesaiakan secara ilmiah melalui perbincangan tertutup. Ini satu cadangan yang baik juga, dengan syarat ia dilakukan dengan teliti dan adil, melibatkan semua aliran dalam masyarakat Islam dalam perbincangan itu, dan dengan syarat ia meliputi keseluruhan masalah kesahihan hadis.

Dalam pengalaman penulis selama lebih sepuluh tahun menghadapi hal ini, dia dapati dua perkara besar yang menghalang penyelesaian. Pertama, ketaksuban sesetengah orang Islam kepada ajaran pemimpin-pemimpin agama mereka. Kedua, ketidak-sanggupan pemimpin-pemimpin Islam yang sedar akan hal ini mengahadpinya secara rasional dan berprinsip. Pada pendapat penulis, umat Islam tidak akan dapat keluar dari kemunduran dan kehinaan yang dialaminya sekarang kecuali mereka berani meghadapi masalah ini secara rasional dan berprinsip. Ini bukan sekadar masalah sembahyang, puasa dan naik haji, tetapi masalah pimpinan masyarakat Islam dan masalah hidup-mati mereka dalam alaf baru.

Dalam Quran, perkataan `hadis’ digunakan dengan dua makna, pada umumnya. Pertama, perkataan `hadis’ bermakna `Quran’ atau `perutusan (Quran)’; kedua, ia bermakna ‘laporan’ atau `cerita’. Hal ini dapat dibuktikan dalam ayat-ayat berikut:-

Inilah wahyu-wahyu Tuhah yang Kamai bacakan kepadaamu dengan sebenarnya; hadis yang manakah selain wahyu-wahyu ini yang mereka hendak percayai?

(Quran, 45:6)

Telah datangkah kepadamu hadis tentang Musa?

(Quran, 20:9)

Dalam kesusteraan Hadis, pengkaji-pengkaji hadis bersepakat mengatakan bahawa sebuah hadis itu laporan tentang perbuatan atau perkataan Nabi Muhammad. Formula sesebuah hadis itu begini:- A melaporkan daripada B, yang melaporkan daripada C, yang melaporkan dari D ... (melalui 5 atu 6 generasi) ..., yang melaporkan daripada Nabi Muhammad. Dalam kitab Sihah Sittah (Enam Sahih), hadis Bukhari ditulis: "Riwayat Bukhari", hadis Muslim ditulis: "Riwayat Muslim" dan seterusnya. Hadis-hadis yang dipersetujui oleh Bukhari dan Muslim ditulis "Dipersetujui" (muttafak `alaih), yakni dipersetujui oleh kedua-duanya.

Dalam Quran, Quran itu disebut sebagai "perkataan rasul yang mulia" (69:40 & 81:19). Perhatikan perbezaannya: dalam kesusasteraan Hadis, hadis disebut sebagai laporan tentang perkataan atau perbuatan Nabi, sedangkan Quran secara keseluruhan disebut sebagai "perkataan rasul yang mulia". Oleh kerana ayat-ayat Quran itu perkataan Nabi Muhammad, maka kadang-kadang ia disebut "hadis" dalam Quran.

Oleh kerana perbezaan yang besar di antara di Quran dengan Hadis, maka kita harus memerhatikan perbezaan ini. Ayat-ayat Quran ialah wahyu Tuhan kepada Nabi Muhammad yang disampaikan kepada manusia melalui mulut Nabi Muhammad. Inilah hadis yang paling sahih. Sebaliknya, Hadis ialah sekumpulan laporan (yang telah dikumpul dan ditapis oleh cerdik pandai Islam dulu) tentang perbuatan dan perkataan Nabi. Taraf laporan tidak boleh lari dari taraf "benar" atau "salah" dan harus ditapis melalui satu sistem penapisan yang ketat dan saintifik. Kita sedia maklum bahawa ulama hadis dulu telah membuat satu sistem penapisan yang mereka fikir cukup baik. Namun demikian, bolehkah kita mengikat diri kita dengan kriteria mereka secara mutlak? Saya fikir tidak bijak kita berbuat demikian. Telah berlaku dalam tamadun-tamadun lain bahawa taklid kepada cerdik pandai dulu telah membawa kerugian besar kepada tamadun itu. Umpamanya, tamadun Barat terikat dengan fikiran Aristotles selama seribu tahun dan dengan fikiran Gereja Rome dari abad-abad keenam hingga kelima belas. Bagi Hadis, pemerhatian penulis ini mendapati antara 40 hingga 60% hadis-hadis dalam kumpulan-kumpulan Bukhari dan Muslim bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran. Inilah alasan kukuh penulis mengapa Hadis perlu dinilai semula dengan menggunakan neraca Quran. Bagi kita, hanya kitab Quran saja yang suci yang tidak boleh dipinda oleh manusia. Dalam hal inipun, pemahaman Quran itu berbeza dari generasi ke generasi.

Oleh yang demikian, saranan bahawa kita harus meletakkan Quran di atas sekali dan harus menjadi neraca kepada semua ilmu lain, termasuk falsafah moden dan warisan kita sendiri, amatlah menasabah. Mengapa penulis dikritik kerana membuat saranan ini sungguh-sungguh menghairanakan. Satu daripada nama Quran ialah "al-Furqan", yakni neraca atau penimbang. Oleh yang demikian, sebagai orang mukmin, kita haruslah menimbang semua falsafah, semua ajaran dan semua perbuatan dengan penimbang ini. Yang mana yang lulus ujian ini boleh diterima; yang mana tidak perlu ditolak.

Tuhan memerintahkan kita; "Hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali Allah, semuanya, dan jangan kamu berpecah-belah." (Quran, 3:103). Tetapi kita melihat umat Islam hari ini berpecah kepada banyak puak dan fahaman serta taksub kepada fahaman-fahaman mereka. Banyak aliran pendapat tidak harus jadi masalah. Ketaksuban menjadi masalah, kerana ia akan menghalang kita daripada melihat kebaikan dalam aliran lain dan menghalang kita daripada bersatu antara sesama kita. Tetapi jika kita berpegang teguh kepada perintah Allah dalam ayat di atas serta menjadikan kitab Allah sebagai pedoman kita, kita akan dapat menyelesaikan perbalahan kita dengan mengikut pedoman itu serta dapat bersatu.

Kaum penjajah senantiasa mencari peluang untuk memecah-belahkan kita dan melaksanakan taktik mereka yang terkenal "pecah-pecah dan perintah" terhadap kita. Akibatnya, umat Islam terus berpecah dan menjadi lemah, ditindas, dihina dan diperkotak-katik oleh mereka, seperti yang kita lihat di depan mata kita hari ini. Sudah sampai masanya kita sedar dan berbalik kepada jalan Tuhan yang lurus.

Tuhan mengajar kita bahawa orang mukmin itu bersaudara. (Lihat Quran, 49:10), harus meneyelesaikan semua masalah mereka melalui perundingan (Quran, 42:38) dan menjadikan Quran sebagai pegangan mereka dan tidak berpecah-belah. (Quran, 3:103). Bukankah ini satu formula yang amat baik untuk mengatasi masalah perpecahan, kemunduran dan kejumudan di kalangan umat Islam? Mengapakah kita gagal melaksanakan perintah-perintah Tuhan yang jelas ini? Masih tidak lewat untuk kita membetulkan kesilapan kita, baik dalam negara kita, mahupun di peringkat antarabangsa. Jika satu bilion umat Islam dapat bersatu dengan berpegang kepada Kitab Allah, niscaya musuh-musuh Islam akan gentar dan menghormati kita.

Yang menghalang umat Islam daripada mencapai kekuatan ini ialah mereka sendiri. Sesetengah negara Islam lebih percaya kepada kaum penjajah Inggeris-Amerika daripada rakyat mereka sendiri. Perang Teluk satu contoh yang jelas. Mereka mengutamakan keuntungan-keuntungan material yang mereka boleh dapat dari kuasa-kuasa Barat ini. Mereka harus ingat bahawa kekuatan material yang mereka mahu itu boleh kita bangunkan dengan menggunakan sumber-sumber dan tenaga kita sendiri. Mereka harus ingat juga bahawa kuasa-kuasa Barat yang "menolong" mereka ini mempunyai niat jahat mereka sendiri yang merugikan umat Islam.

Setahun saja lagi kita akan memasuki alaf baru. Dunia sedang berubah dengan cepat dan hebat. Sudah sampai masanya umat Islam membuat tekad untuk bebas sepenuhnya dari kuasa penjajah Barat. Kita harus bangunkan ekonomi, politik, kemasyarakatan, sains dan teknologi kita sendiri dalam satu progrem kilat dalam masa 5-15 tahun supaya dalam masa ini kita akan bebas sepenuhnya dari kuasa penjajah Barat. Kita harus bangunkan ilmu baru kita berdasarkan panduan Quran dengan mengambil segala yang baik dari semua tamadun, seperti yang diajar oleh Tuhan kepada kita.

(TAMAT)