Free Hosting : Credit & Debt : Free Web Hosting : Best Credit Cards  

JAM/QSM Homepage

Topic/Topik
Introduction/ Pengenalan
Biographical Data  /Biodata
Pearl of Wisdom/ Mutiara Hikmah
Politics/Politik
Economy/Ekonomi
Science/Sains
Religion/Agama
Criticism/Kritikan
Philosophy/Falsafah
General/Umum
News/Berita

 

PENYELARASAN UNDANG-UNDANG ISLAM

Oleh: Kassim Ahmad

Semua orang Islam tahu bahawa agama Islam itu satu, berdasarkan ajaran tauhidnya bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan tiada siapa yang layak disembah kecuali Allah. Tetapi tidak ramai orang Islam tahu bahawa undang-undang itu banyak. Kepelbagaian undang-undang terbit dari keadaan yang berbeza-beza dari satu tempat ke satu tempat dan dari satu zaman ke satu zaman. Oleh yang demikian, jika masyarakat-masyarakat Islam mengamalkan pelabagai undang-undang, dengan syarat undang-undang ini berdasarkan prinsip-prinsip keadilan dan kerahiman -- dua prinsip undang-undang yang diberi dalam Quran -- undang-undang itu sah dari segi Islam.

Sejarah kolonial telah mewariskan kita di Malaysia sistem dwi-undang-undang: undang-undang sivil dan undang-undang syariah. Undang-undang syariah pula berbeza dari suatu negeri ke satu negeri oleh kerana Perlembagaan Persekutuan, mengikut amalan zaman kolonial dulu, memperuntukkan bidang agama kepada kuasa raja di tiap-tiap negeri. Oleh kerana kita sekarang, sejak 31 Ogos, 1957, sebuah negara-bangsa merdeka dan ingin memantapkan perpaduan bangsa dan sistem sosial kita, kepelbagaian dan kontradiksi dalam undang-undang syariah ini merupakan satu kejanggalan dan masalah. Sepatutnya kita sudah mengambil tindakan-tindakan undang menyelaras dan menyatukan undang-undang ini dari lama dulu. Namun demikian, setelah beberapa peristiwa, seperti pengharaman orang-orang Islam menghisap rokok di sesetengh negeri dan tidak di semua, dan kekasaran perbuatan Jabatan Agama Islam Selangor menangkap tiga orang gadis Melayu yang telah melakukan kesalahan mengambil bahagian dalam pertandingan cantik dan juga mudahnya mufti-mufti mengeluarkan fatwa memurtadkan orang-orang Islam tertentu, penyelarasan dan reformasi undang-undang syariah perlu dibuat segera. Inisiatif Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat baru-baru ini untuk melakukan yang demikian memang tepat pada masanya dan patut disokong penuh oleh rakyat.

Harus diingat bahawa kebanyakan undang-undang syariah ini, jika tidak semuanya, telah kita warisi dari nenek-moyang kita,yang telah pula mengambil-alih undang-undang ini dari masyarakat Arab seribu tahun dulu! Semua ahli undang-undang tahu bahawa dalam mana-mana tamadun pun undang-undang berubah dari semasa ke semasa. Yang tidak berubah ialah prinsip-prinsip perundangan di sebalik undang-undang itu. Dalam masyarakat-masyarakat Islam moden, reformasi undang-undang telah mula dibuat sejak awal abad ke-19 di Turki dan di banyak negara Islam lain, termasuk di negara kita. Namun demikian, oleh kerana penentangan terhadap reformasi ini dari kalangan-kalangan konservatif dalam masyarakat Islam, reformasi ini tidak dapat dilakukan dengan sepenuhnya. Inilah yang menjadi punca kewujudan dua undang-undang dalam kebanyakan, kalau tidak semua, negara Islam: undang-undang sivil yang diambil dari model undang-undang Eropah, dan undang-undang syariah yang diambil dari kitab-kitab fikah lama.

Kita semua tahu bahawa semua tamadun besar, seperti Yunani, Romawi, Parsi, Arab, China, India dan Eropah, membekalkan rakyatnya dengan prinsip-prinsip undang-undang dan juga undang-undangnya sendiri. Dalam Islam, mengikut ahli-ahli hukum klasik, ada lima sumber undang-undang yang besar, iaitu Quran, Hadis, Ijmak, Qias dan Ijtihad. Namun demikian, sejak kira-kira adad ke-13, pintu ijtihad dikatakan sudah ditutup, walupun perkara ini ditolak oleh sebilangan kecil ahli hukum. Apa yang jelas dalam Quran ialah sumber undang-undang yang pokok ialah Tuhan yang diwakili oleh Kitab-Nya, dengan "pihak berkuasa" sebagai sumber kedua. Hal ini jelas dari ayat 59, surah 4 (Al-Nisa’), yang berbunyi:-

Hai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul, dan mereka yang berkuasa di antara kamu. Jika kamu berbalah tentang sesuatu perkara, hendaklah kamu rujuk kepada Allah dan rasul, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Inilah yang baik dan jalan penyelesaian yang lebih elok.

Walaupun pengertian yang diberi dalam kebanyakan kitab agama tentang ayat ini merujuk kepada Quran dan Hadis sebagai dua sumber utama, teks Quran menyebut "Allah dan rasul" sebagai objek ketaatan pertama orang mukmin. Tidak ada perkataan "hadis" dalam teks sama sekali. Jika kita ambil frasa "Allah dan rasul" sebagai satu konsep (dan kita harus berbuat demikian, kerana rasul itu utusan daripada Allah), maknanya jelas, iaitu Quran. Makna ini bertambah jelas jika kita pertimbangkan keseluruhan ayat-ayat Quran berhubung dengan perkara ini. Dari segi logik, memang tidak boleh dinafikan bahawa satu-satunya pemerintah alam ini ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirnya, dan perintah Tuhanlah yang mengatasi semua perintah lain.

Di bawah konsep "mereka yang berkuasa di antara kamu" atau "pemerintah", beberapa sumber undang-undang lain diberi dalam Quran. Pertama, musyawarah atau perundingan, yang disebut dalam ayat-ayat 3:159 dan 42:38. Mengikut ayat-ayat ini, pemerintah, sama ada individu atau kolektif, hendaklah memutuskan semua hal masyarakat melalui perundingan. Dalam zaman moden ini, kita melihat beberapa beberapa bentuk pemerintahan berdasarkan perundingan, seperti sistem parlimen di Inggeris, system kongeres di Amerika Syarikat dan sistem kongeres rakyat di China. Kedua, di bawah konsep "permerintah" juga boleh digolongkan prinsip adat atau kelaziman, atau kesesuaian, atau kewajaran, yang disebut dalam Quran dalam ayat 2:178 dan ayat-ayat lain yang seumpamanya.

Dalam pada itu, undang-undang syariah mestilah ditadbirkan oleh otoriti yang layak, bukan sembarangan, dan mestilah berasakan keadilan. Perintah ini sangat jelas dalam Quran, seperti yang terbukti dalam ayat ini: "Tuhan memerintahkan kamu menyerahkan tanggungjawab kepada mereka yang layak dan apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu hukum dengan adil."(4:58) Jadi, Islam menghendaki pentadbiran sesebuah masyarakat diserahkan kepada mereka yang layak dan badan pentadbiran ini hendaklah mentadbir dengan adil.

Di samping itu, walaupun keadilan itu suatu nilai undang-undang yang tinggi, lebih tinggi ialah nilai kerahiman. Oleh yang demikian, Tuhan telah menetapkan bahawa memaafkan sesuatu kesalahan itu lebih baik daripada menghukumnya. Prinsip ini jelas dari ayat ini: "Balasan bagi tiap-tiap kejahatan ialah kejahatan yang setimpal, tetapi barangsiapa yang memaafkan dan berbaut baik beroleh ganjaran dari Allah." (42:40)

Jadi, jika masyarakat kita ingin mereformasikan undang-undang secara keseluruhan, bukan setakat undang-undang syariah saja, dan secara muktamad, bukan setakat tampal-sulam saja, (dalam dunia kampung sejagat sekarang kita mestilah memikirkan penyelesaian yang muktamad bagi semua masalah besar kita) kita mestilah menjadikan kitab Allah yang akhir (yakni Quran) sebagai sumber undang-undang, dan "pihak berkuasa yang layak" sebagai agensi untuk mentadbir undang-undang itu.

Gagasan perundangan ini amat baik. Di satu pihak, ia luas dan fleksibel; di pihak lain, ia amat jelas. Dibanding dengan konsep perundangan liberal Barat, iaitu "pemerintahan mengikut undang-undang" (rule of law), gagasan Islam ini nyata keunggulannya. Ini kerana prinsip utama dalam ajaran Quran ialah kebenaran, dengan prinsip-prinsip keadilan dan kerahiman sebagai dua prinsip pokok perundangan. Di samping itu, agensi yang harus mentadbirkan undang-undang ini mesti agensi yang layak. Dalam gagasan sekular liberal Barat, prinsip rule of law tidak mencukupi, kerana undang-undang yang digubal di bawah prinsip ini, walaupun sah dari segi undang-undang, boleh jadi tidak adil. Kedua, dalam konsep sekular, kedaulatan itu milik rakyat, melalui sesuatu majlis perundangan. Tetapi kita tahu bahawa kedaulatan yang sebenar itu milik Allah. Jadi, undang-undang Allahlah yang sebenarnya berdaulat. Dari dua segi ini, undang-undang Islam lebih unggul daripada undang-undang sekular Barat.

Kelemahan undang-undang syariah yang wujud di negara kita sekarang berpunca dari kebekuan undang-undang itu. Selama kira-kira seribu tahun, undang-undang ini, atau kebanyakan daripadanya, kekal di tahap itu, walapun keadaan dunia sudah banyak berubah.Harus diingat bahawa sesetangah daripada undang-undang ini berdasarkan pemahaman ahli-ahli hukum terhadap beberapa nas dalam Quran. Adakah adil atau menasabah untuk mengongkong umat Islam hari ini dengan cara-cara atau undang-undang yang digubal seribu tahun dulu yang sekarang sudah tidak sesuai atau ketinggalan zaman? Sudah lebih daripada sampai masanya pemimpin, cerdik pandai dan ahli-ahli hukum kita (tidak salah kalau kita masukkan juga dari kalangan bukan-Islam, kerana Islam itu semangatnya universal dan humanistik) untuk bertemu dan memutuskan tentang reformasi undang-undang kita supaya undang-undang kita bersifat adil dan rahim, seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Apabila kita menyebut bidang agama, masyarakat kita secara automatik akan menunjuk kepada golongan yang dipanggil "ulama". Dari segi bahasa, perkataan ini jamak kepada perkataan `alim’ yang bermakna `sarjana’ atau `ilmuan’, tetapi adat sudah menukar maknanya menjadi `orang yang ahli dalam pengetahuan agama Islam’ (Kamus Dewan Bahasa). Kebanyakan orang Islam sendiri mungkin tidak tahu bahawa golongan tertentu ulama ini tidak wujud dalam zaman Nabi dan zaman khalifah al-rasyidun. Tidak ada perkataan `ulama’ dalam Quran dengan ertikata suatu golongan tertentu dengan otoriti untuk mentadbirkan agama. Tidak juga terdapat perkataan ini dalam Perlembagaan Madinah yang diberi oleh Nabi kepada kota Madinah ketika beliau menjadi pentadbirnya. Tidak juga disebut golongan ini dalam Sirah Nabi yang ditulis oleh Ibn Ishaq (85-151 Hijrah), seorang pensejarah Islam yang awal. Ini semuanya bukti-bukti yang jelas bahawa institusi ulama tidak wujud dalam zaman awal Islam. Ia muncul kira-kira dua ratus lima puluh tahun kemudian, hasil tiruan dari contoh agama-agama dulu, seperti Yahudi dan Kristen, yang memang mempunyai institusi-institusi rahib dan paderi masing-masing. Institusi kepaderian ini juga wujud dalam agama-agama Hindu dan Buddha. Tetapi agama-agama Hindu dan Buddha tidak mungkin mempengaruhi umat Arab, kerana masyarakat-masyarakat ini tidak dikenali oleh mereka.

Apa yang nyata ialah bahawa masyarakat Islam yang pertama, setelah kebangkitan Nabi Muhammad , sebuah masyarakat yang utuh yang tidak membezakan antara urusan keagamaan dan urusan keduniaan. Nabi Muhammad dan empat kahlifah al-rasyidun menjalankan kedua-dua tugas ini sendiri tanpa diwujudkan suatu golongan khusus untuk mentadbirkan "hal-hal keagamaan" . Kebanyakan ulama fekah , seperti Imam Shafi`i , ulama Hadis , seperti Imam Bukhari , dan ulama kalam, seperti al-`Asha`ri, tidak lahir hingga pada akhir abad ke-8 sampai awal abad ke-10 dalam Daulah Abbasiyyah. Mulai masa ini barulah muncul dualisme dalam pemerintahan Islam, iaitu pembahagian kuasa di antara golongan umara (pemerintah) dan golongan agama (ulama). Gelaran dan jawatan Sheik `ul-Islam, umpamanya, pertama kali diwujudkan dalam Turki Uthmaniah dalam pemerintahan Sultan Sulaiman I (1520-66 T.M.) dan jawatan ini sama pangkatnya dengan wazir besar atau perdana menteri.

 

Yang menjadi masalah kepada masyarakat kita sekarang ialah kerana golongan ulama ini telah menggunakan kedudukan keagamaan mereka untuk mendakwa mereka "pewaris para nabi" dan "penjaga doktrin" umat Islam untuk mengeluarkan fatwa serta melaksanakan hukum sewenang-wenang sehingga menimbulkan anggapan yang salah dan negatif terhadap agama Islam dan boleh menimbulkan kacau-bilau. Perkara ini telah ditimbulkan baru-baru ini oleh Perdana Menteri kita sendiri. Ekoran dari itu, sesetengah pihak dari kalangan ini telah menuduh Perdana Menteri sebagai "hampir murtad"!

Tidak syak lagi, masyarakat kita mestilah memberi perhatian yang serius terhadap perkembangan ini. Adakah dalam Islam satu kasta paderi yang boleh menghukum itu dan ini atas nama Tuhan? Adakah dalam Islam sesiapa yang boleh menghukum keimanan orang lain? Jawabnya: Tidak ada. Seperti yang telah kita lihat, hanya dua otoriti yang boleh membuat undang-undang dalam Islam, iaitu Tuhan Pencipta alam dan pemerintah yang sah. Tidak ada otoriti perundangan yang lain daripada dua ini. Hadis yang digunakan oleh ulama untuk mendakwa bahawa mereka "pewaris para nabi" ialah hadis yang palsu, kerana ia terang-terang bercanggah dengan ajaran Quran. Ajaran Quran dalam hal ini boleh dilihat dari ayat -ayat 31-32, Surah 35 (Fathir) yang berbunyi:

Apa yang Kami wahyukan kepadamu dalam kitab ini ialah kebenaran yang menyempurnakan semua kitab dulu. Allah tahu benar tentang hamba-hamba-Nya, lagi Pelihat. Kemudian Kami wariskan kitab ini kepada mereka yang Kami pilih dari hamba-hamba Kami. Sesetengah mereka menzalimi diri mereka, sesetengah mendukungnya pada waktu-waktu saja, sedangkan yang lain berlumba-lumba untuk berbuat baik dengan izin Allah. Itulah kejayaan yang terbesar.

Harus diperhatikan bahawa ayat di atas cocok dengan sebuah hadis lain yang menyatakan tiada kepaderian dalam Islam.

Konsep kehidupan yang diajar oleh Islam ialah konsep kehidupan yang bersepadu dan utuh, yakni tiada pembagian yang mutlak antara kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Tiada akhirat jika tiada dunia. Dunia ini tahap pertama dalam perjalanan manusia ke akhirat. Tujuan Islam yang pokok ialah untuk membangunkan sebuah dunia yang aman, adil dan bahagia untuk manusia. Caranya ialah dengan membangunkan individu-individu yang baik (mukmin dan muslim) serta menggalakkan perjuangan di jalan Allah untuk menegakkan keadilan dan kebenaran serta menghapuskan kezaliman dan kepalsuan.

Apakah peranan ulama (dalam ertikata asal) atau ilmuan dalam masyarakat? Tentulah menyibar ilmu melalui pengajaran mereka, sama ada sebagai guru, pensyarah atau pengarang buku: dalam bidang-bidang sains, seni dan falsafah. Bukanlah peraanan mereka untuk menjadi pemerintah, seperti ahli parlimen atau menteri kerajaan. Ini tidak bermakna seorang ahli falsafah atau ahli sains atau seniman tidak boleh menjadi ahli parlimen atau menteri kerajaan. Maksud kita peranan mereka yang utama bukanlah menjadi pemerintah, tetapi mencipta dan meningkatkan kesedaran dalam masyarakat. Oleh yang demikian, slogan `Kepimpinan Ulama’, seperti yang diketengahkan oleh sesetengah kalangan di negara kita tidaklah tepat. Ini kerana, pada dasarnya, kaum ilmuan tidak berminat untuk memerintah. Kerapkali mereka tidak mempunyai kepakaran untuk itu. Mereka lebih suka membaca, berfikir, menyelidik, mengajar dan menulis buku. Inilah tugas yang patut dipenuhi dan dilakukan oleh ulama kita sekarang, bukan untuk mengeluarkan fatwa dan menghukum!

Para ilmuan kita dalam bidang agama boleh mengeluarkan pendapat mereka dalam bidang-bidang mereka, sepertimana para ilmuan dalam bidang-bidang lain, tetapi mereka tidak boleh mendakwa bahawa pendapat-pendapat mereka itu hukum, kecuali pendapat-pendapat itu digubal menjadi undang-undang dan diluluskan dalam parlimen. Pendapat-pendapat ini pula boleh dikritik oleh masyarakat. Demikianlah ilmu berkembang dan kehidupan manusia meningkat maju.

Jika negara kita mengambil pendirian ini, banyak kekeliruan akan dapat diselesaikan. Tidak akan wujud perbalahan di antara apa yang dipanggil golongan-golongan agama dan sekular. Semua golongan menerima konsep kesepaduan kehidupan. Semua golongan, termasuk ulama, boleh dan harus diberi kebebasan untuk memberi pendapat dalam semua hal, tetapi undang-undang hanya dibuat oleh badan perundangan, iaitu parlimen atau pemerintah, mengikut ajaran-ajaran Quran dan ajaran-ajaran lain yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran.

Saya tidak boleh menutup tanpa mengatakan bahawa pandangan saya ini kritikal terhadap amalan umum kita sekarang. Tetapi saya meminta pembaca yang budiman memberi pertimbangan yang saksama dan serius terhadap pandangan ini. Saya kira saya termasuk salah seorang yang paling cinta kepada Islam di tanahair kita dan saya ingin melihat Islam menang di dunia. Saya bersedia untuk ditegur dan semua orang tahu saya telah mendapat lebih daripada teguran! Dengarlah nasihat yang baik daripada Tuhan Sendiri: "Berilah tahniah kepada hamba-hamba-Ku. Mereka mendengar semua pendapat dan ikut yang paling baik. Inilah mereka yang Tuhan beri hidayah; inilah mereka yang berakal." (Quran, Al-Zumer (39): 17-18)

 

(SELESAI)