|
|
BERSATU DAN BERJUANG UNTUK MEWUJUDKAN SEBUAH DUNIA YANG
ADIL BERDASARKAN
AJARAN TUHAN (Ucapan
Pembukaan dan Laporan Pengerusi Kepada
Perjumpaan Tahun JAM ke-5 Pada
17 Jun, 2000 Di
Bilik Mesyurat 1 Hotel
1926, Jalan Burma, Pulau Pinang
Syukur kita ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia-Nya
kita dapat berkumpul pada pagi yang bahagia ini di tempat yang lebih
selesa daripada tahun-tahun yang lalu. Saya dengan sukacitanya
mengalu-alukan kedatangan anggota dan dif dari jauh dan dekat ke majlis
ini. Saya mengalu-alukan, khasnya pada kali ini, kehadiran anggota dan
penyokong dari kalangan-kalangan akademik, profesyional dan koporat. Kita
perlukan penglibatan mereka dalam perjuangan yang besar ini. Saya ingin
mengucapkan penghargaan yang tinggi dan ribuan terima kasih kepada
anggota-anggota dan penyokong-penyokong kita yang terus setia dan memberi
sokongan moral dan material kepada pertubuhan kita dalam waktu kita
menghadapi pelbagai kesulitan untuk menjalankan perjuangan kita. Oleh
kerana kita memandang perjuangan mengembalikan rakyat kita, khasnya orang
Islam, kepada ajaran Quran sangat penting, maka kita telah meneruskan
perjuangan ini, dan akan meneruskannya hingga kita berjaya Aktiviti JAM Sebagai pertubuhan, kita telah wujud tanpa didaftarkan selama lima tahun. Saya yakin jika kita boleh bergerak dengan bebas, seperti pertubuhan-pertubuhan lain, kita boleh mendaftarkan anggota dan mendapat penyokong yang ramai. Keyakinan saya ini berdasarkan dua faktor. Pertama, kerana apa yang kita sarankan itu amat menasabah dan logikal. Kedua, dalam pengalaman saya, saya melihat ramai cerdik-pandai menyokong saranan kita. Tetapi oleh kerana pihak berkuasa agama menekan kita dan kerapkali membuat fitnah terhadap kita, kita ditakuti, dicurigai dan dipulau oleh orang ramai. Untuk mengatasi sebagian daripada masalah ini, saya menyarankan kepada cerdik pandai yang belum mahir tentang Islam supaya membuat progrem mengkaji sejarah Islam, tafsir dan sejarah perundangan, teologi dan falsafah Islam. Banyak buku tentang perkara-perkara ini boleh didapati dalam bahasa Inggeris dan Melayu sekarang. Bagi mereka yang ingin mendalami Quran, bahasa Arab juga patut dipelajari. Pengetahuan tentang Islam bukan satu rahasia yang dibolot oleh sesuatu golongan, tetapi satu ilmu yang terbuka dan boleh dicapai oleh sesiapa juga yang ingin mencarinya. Seperti yang kerap saya katakan, kita tidak harus takut kepada tentangan ini, kerana tentangan ini berdasarkan kepalsuan, kejahilan dan ketakutan orang ramai. Ia bersifat sementara. Akhirnya kepalsuan akan hancur berkecai di depan kebenaran yang kebal. Firman Tuhan, "Katakanlah, 'Kebenaran telah datang dan kealsuan hapus." Sesungguhnya, kepalsuan senantiasa akan hapus." (Quran, 17:81) Ini undang-undang Ilahi atau undang-undang alamiah, dalam bahasa sekular. Tiada siapa boleh ingkari undang-undang ini. Undang-undang ini telah berlaku dalam kenaikan dan kejatuhan negara dan empayar. Kenaikan negara dan empayar Islam dalam abad-abad ke-7 hingga ke-13 juga bukti. Anehnya kebanyakan ulama, yang sangat gemar menyuruh kita mengikut sunnah Nabi, seperti memakai serban dan jubah dan menyimpan janggut, mengikut dakwaan mereka, apabila berhadapan dengan contoh perjuangan Nabi melawan musuh dan menegakkan keadilan dan kebenaran, tidak pula menggalakkan kita mengikut contoh ini, kononnya kerana kita tidak dapat mencontohi Nabi yang mendapat petunjuk daripada Tuhan! Inilah kontradiksi mereka kerana mendewakan Nabi Muahammad. Selama lima tahun ini, aktiviti kita tertumpa kepada perbincangan bulanan yang kita adakan di Pulau Pinang, sibaran kita melalui risalah Iqra' dan kemudian Surat Ketua, kenyataan-kenyataan akhbar pada peringkat awal, dan artikel-artikel dalam akhbar-akhbar tempatan dan juga majlis-majlis dialog dan debat yang kita adakan dan perjumpaan-perjumpaan tahunan. Sejak setahun yang lalu, kita telah mempunyai laman web kita sendiri. Di antara kejayaan-kejayaan kita yang besar ialah penggubalan "40 Prinsip Panduan Hidup" yang kita rumuskan dari ajaran-ajaran Quran dan disusun mengikut tertib pentingnya, dan pemantapan anggota-anggota tentang ajaran-ajaran Quran. Walaupun kita optimistik tentang bakal kejayaan total yang akan kita capai, kita tidak boleh memperkecilkan kesulitan-kesulitan yang kita hadapi. Kita senantiasa mesti berusaha untuk membaiki cara kerja kita dengan dengan selalu berbincang untuk mencari kaedah-kaedah yang lebih sesuai dan prqaktikal. Di Malaysia, kita tidak boleh melupakan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, merupakan satu halangan besar kepada gerakan kita dulu. Kepetualangan beliau untuk meningkat naik jadi Perdana Menteri telah menyebebakan beliau bersekongkol denga ulama untuk menekan kita. Sebelum ini, melalui ABIM, beliau telah menyebabkan buku Hadis -- Satu Penilaian Semula diharamkan. Dalam pada itu, kita harus tahu akan faktor yang menyelbelahi kita pula. Kita harus berterima kasih kepada Perdana Menteri, Dr. Mahathir Moahamad, kerana beliau bukan saja sebagian besarnya bersetuju dengan gagasan kita dan becakap di pelbagai forum pada garis itu, tetapi juga telah menyelamatkan sesetengah kita daripada ditahan di bawah ISA! Ini seperkara yang saya tahu secara pasti. Jadi, keadaan politik di Malaysia sekarang, tanpa Anwar Ibrahim, ialah suatu keadaan yang memihak kepada kita dari segi perjuangan untuk menyeru rakyat kita kembali kepada Quran. Kita akan mengubah sedikit strategi kita untuk membolehkan kita bergerak dengan bebas. Kita akan membuat keputusan itu hari ini. Dalam hal ini, eloklah juga kita memilih sebuah Jawatankuasa Penaja baru untuk mengendalikan perubahan ini. Jawatankuasa Penaja lama sudah berusia lima tahun. Saya ingin melaporkan bahawa selama ini kita tidak mendaftarkan anggota, kerana kita belum didaftarkan. Walau bagaimana pun, pada waktu penubuhan kita pada 11 Jun, 1995 di Kuala Lumpur, wakil-wakil dan pemerhati yang hadir ialah kira-kira 60 orang. Saya percaya bilangan yang menyokong kita pada hari ini ramai. Berkat sokongan kewangan daripada anggota-anggota dan penyokong-penyokong kita, kita dapat melaksanakan kegiatan kita, iaitu mengadakan perbincangan dan mesyuarat bulanan, mengeluarkan sibaran-sibaran kita, termasuk mengadakan laman web kita sendiri, mengadakan majlis-majlis forum, mengadakan perjumpaan Hari Raya dan pejumpaan-perjumpaan tahunan. Dalam masa lima tahun, jumlah derma anggota dan penyokong kita ialah RM 23,000 dan jumlah perbelanjaan kita RM 20, 000. Hetong panjang keseluruhan perjalanjaan kita RM 4,160 setahun atau RM 330. sebulan. Untuk mengadaan perjumpaan tahunan ini, kita memperuntukkan sebanyak RM 5,500. Kita jangka kita boleh menampung perbelanjaan ini melalui kutipan pendaftaran dan derma daripada anggota dan penyokong kita. Pada tahun ini kita akan menerbitkan sebuah risalah tentang hadis yang bercanggah dan tidak bercanggah dengan ajaran Quran dan sebuah buku tentang gerakan JAM dari penubuhan hingga kini. Apabila kita mendaftarkan syarikat pertubuhan kita, kita perlukan sebuah pejabat dengan kakitangan minimum untuk menjalan kegiatan kita. Saya cadangkan supaya kita rancang dua persidangan besar tahun ini dan tahun depan. Sebelum akhir tahun ini kita patut memanggil satu konvensyen tentang Quran. Konvensyen ini akan mengkaji tentang perlunya masyarakt kita kembali kepada Quran, tentang kaedah memahami ajaran Quran dan tentang kaedah menjadikan Quran sebagai panduan hidup kita. Persidangan kedua tahun depan ialah persidangan antarabangsa. Kedua-dua persidangan ini perlu dirancang dengan teliti dan dari sekarang. Untuk membiayai ini semua kita mestilah menubuhkan suatu dana yang agak besar. Maksud
Kembali Kepada Quran Apabila kita berkata kita kembali kepada Quran, tidak bermakna kita hanya perlu membaca Quran saja. Quran sendiri menyuruh kita (a) mengikut kitab-kitab lain sebelum ini (2:4), (b) membaca semua bahan bacaan lain dengan kritikal (96:1), (c) mendengar semua pendapat, tetapi mengikut yang paling baik (39:18), (d) belajar dari alam, yakni ilmu sains (51:20-21), (e) belajar dari sejarah (12:111) dan menggunakan akal untuk memahami semua perkara (10:100). Allahyarham Dr. Rashad Khalifa telah membuat dua kesilapan dalam hal ini. Beliau memperkenalkan konsep "Hanya Quran dan Quran semata-mata". Konsep ini tidak terdapat dalam Quran sendiri. Tuhan memberitahu kita bahawa sebelum Quran, banyak umat lain telah diberi kitab sebagai pentunjuk kepada mereka dan Tuhan mengirim rasul kepada semua masyarakat manusia. Dengan demikian, semua ajaran baik itu berasal daripada Tuhan dan perlu kita terima. Tetapi oleh kerana kitab-kitab lain sebelum Quran telah dimasuki ajaran-ajaran yang salah, maka Quran yang Tuhan jamin kesahihannya diturunkan untuk membetulkan ajaran-ajaran yang salah ini serta melengkapkan ajaran Tuhan kepada manusia. Quran itu neraca (al-furqan: nama Surah 25) Segala ajaran, baik dulu mahupun kemudian, baik dari Barat nahupun dari Timur, mestilah diletak di atas neraca Quran. Apa yang lulus, terpakai; apa yang terkandas, ditolak. Dr. Khalifa juga mengatakan hadis yang baik juga perlu ditolak. Ini tidak logik. Dalam Quran, perkataan hadis, pada dasarnya, digunakan dalam dua makna: (a) hadis bermakna perutusan Tuhan atau Quran (45:6); (b) hadis bermakna laporan (20:9) yang perlu diterima atau ditolak mengikut kesahihannya. Kerapkali orang Islam jatuh ke dalam kancah pendewaan tokoh. Nyatalah kebayakan umat Islam sudah mendewakan Nabi Muhammad. Tuhan telah mengajar kita dua perkara yang senang difahami dalam hal ini. Pertama, hanya Tuhan yang kita dewakan dan yang tidak kita pertikai. Makhluk lain, termasuk para nabi, manusia biasa yang tidak boleh kita dewakan dan boleh kta pertikai. Demikianlah dalam hal Rashad Khalifa. Beliau telah berjasa kepada kita dengan mengajak kita kembali kepada Quran dan menunjukkan kelemahan-kelemahan dalam apa yang kita dikatakan kumpulan-kumpulan Hadis Sahih. Beliau juga telah mengahsilkan sebuah terjemahan Quran yang sangat baik. Kita hargai dan berterima kasih kepada beliau kerana jasa-jasa ini, tetapi kita tidak boleh tutup mata kepada kelemahan-kelemahan beliau. Satu daripada kelemahan beliau yang menonjol ialah dakwaan bahawa beliau Utusan Yang Dijanjikan dengan merujuk kepada Kod 19. Perkara
Utama Konsep Tauhid Dalam masa dua tahun yang lalu, saya telah banyak mengikuti perbincangan, malah pertengkaran, antara pelbagai kumpulan dan individu dalam Internet. Mereka kerapkali berbincang tentang sembahyang dan bertengkar sama ada sembahyang itu lima atau tiga waktu dalam Quran. Mereka juga kerap berbincang tentang ibadah-ibadah lain, tetapi, anehnya, mereka tidak pernah, atau jarang sekali, berbincang tentang ekonomi politik, sains politik, pentadbiran negara, ekonmi, sains, teknologi, falsafah, kebudayaan dan seni, sedangkan aktiviti manusia berkisar dalam bidang-bidang ini. Ini menunjukkan bahawa kita belum benar-benar memahami ajaran Quran. Yang paling penting dalam ajaran Quran ialah konsep tauhid. Konsep tauhid bermakna kehidupan ini satu, dunia ini satu dan kita tidak boleh mengasingkan dunia dari akhirat dan politik dari agama. Perkataan agama ada dua makna. Pertama, ia bermakna cara hidup (rujuk 3:19; 109:6) , yang meliputi semua bidang. Inilah makna perktaaan Arab deen dalam Quran. Kedua, ia bermakna ibadah-ibadah agama, yakni cara sesuatu masyarakat menyembah Tuhan (rujuk 22: 67; 2: 62). Agama dalam ertikata yang sempit ini (perktaan Arab: mansakan) merupakan hanya satu daripada banyak bidang kehidupan, dan perlu diasingkan daripada pemerintahan negara, kerana ia boleh digolongkan sebagai adat, dan adat berbeza dari satu kaum kepada satu kaum. Kaedah
Menyelesaikan Perbezaan Pendapat
Perbezaan pendapat ini di kalangan kumpulan-kumpulan Quran
kadang-kadang menyebabkan perpecahan. Hal ini memalsukan dakwaan mereka
bahawa jika umat Islam mengikut ajaran Quran, mereka akan dapat bersatu
semula. Di manakah letak kesalahannya?
Pada pendapat saya, kesalahannya terletak pada kekeliruan kita
tentang ajaran pokok dengan ajaran bukan pokok dalam Islam. Ajaran pokok
ialah tauhid, iaitu kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa. Perkara-perkara
lain bukan pokok. Pegangan umat Islam kepada tauhid -- inilah ikatan
mereka yang paling kukuh. Dalam hal-hal bukan pokok, kita boleh berbeza
pendapat dan Tuhan telah mengajar kita satu kaedah yang sangat baik untuk
menyelesaikan perbezaan pendapat dan mencapai perpaduan. Kaedah itu ialah:
perpaduan berdasarkan tauhid (3:102) -- perundingan untuk menyelesai
perbezaan pendapat (42:38) -- muafakat dicapai melalui perundingan yang
berhakimkan ajaran Quran (3:102; 4:59). Kita ambil contoh perbezaan pendapat tentang waktu sembahyang. Apabila kita berunding, kita akan dapati bahawa sembahyang itu diwajibkan bagi setiap individu pada waktu-waktu tertentu, tetapi Tuhan melarang kita daripada bertengkar tentang kaedah sembahyang (rujuk Quran, 22:67) Namun demikian, oleh kerana generasi kita telah mewarisi sembahyang lima waktu, tidaklah salah kalau kita ikut adat ini, dengan syarat kita sembah Tuhan Yang Esa saja. Ambil kes perpecahan UMNO-PAS sekarang. Sebagai orang Islam dan mukmin, kita wajib mewujudkan hubungan persaudaraan di antara kita, yakni kita boleh duduk semeja untuk berbincang dan berunding tentang semua perkara. Tuduh-menuduh di antara satu dengan lain patut dielak. Ini tidak bermakna kita tidak boleh mengkritik satu sama lain berdasarkan fakta untuk mencari kebaikan. Melalui perundingan dan kritikan berdasarkan ajaran Quran, kita boleh mencapai muafakat dalam banyak hal. Dalam hal-hal yang belum kita capai muafakat, kita tangguh dulu persetujuan hingga ke satu masa lain. Ambil kes perpecahan lama umat Islam, iaitu perpecahan kepada puak-puak Sunni dan Syiah. Wujudkan semula persaudaraan mukmin dan elak permusuhan antara satu sama lain. Duduk semeja dan berunding tentang semua perbezaan pendapat dengan berhakimkan Quran. Dalam hal ini, kita mesti elak dari campur tangan musuh dalam urusan kita, seperti dalam Perang Teluk, dan kita mesti toleransi terhadap kewujudan perbezaan dalam soal-soal ibadah dan adat. Demikianlah caranya kita menyelesaikan semua perbezaan pendapat. Sekiranya, setelah berunding, kita masih gagal mencapai muafakat, kita boleh tundakan perkara itu hingga satu masa lain, hingga kita boleh mencapai muafakat. Walau macam mana pun, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara, tidak seharusnya menyebabkan perpecahan dan permusuhan di antara kita. Inilah makna perisytiharan Tuhan bahawa orang mukmin itu bersaudara. (Lihat Quran, 49:10) Kita kumpulan yang ingin kembali kepada Quran dan mengikut ajaran Nabi Muhammad yang sebenar mesti menujuk contoh yang baik. Kita mesti pandai bersatu. Seperti kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita runtuh. Kita
Harus Menjadi Khalifah Tuhan di Dunia Kita melihat keadaan umat Islam sekarang sangat menyedihkan: berpecah-belah, kadang-kadang berperang satu sama lain, mundur dan ditindas. Inilah sebab utama kita perlu menyeru mereka balik kepada ajaran Quran, seperti dalam zaman awal. Seperti yang saya katakan di atas, balik kepada ajaran Quran, bukan setakat mengikut ajaran Quran secara harfiah atau mengikut tafsiran yang sudah lapuk. Bila saya mengatakan tafsiran yang lapuk, maksud saya zaman berubah dan ilmu berkembang, dan pengertian kita tentang ajaran-ajaran Quran juga semestinya turut berubah dan berkembang. Kita dijadikan Tuhan sebagai khalifah di bumi. Ini bermakna kita sepatutnya menjadi raja. Tetapi selama lima ratus tahun kita menjadi hamba kepada kaum penjajah Eropah. Selama sepuluh tahun yang lalu kaum penjajah Inggeris-Amerika bermaharaja-lela di dunia dalam apa yang mereka isytiharkan sebagai "Tatadunia Baru" selepas Perang Teluk. Pengorbanan besar rakyat Iraq yang perwira menentang kaum penjajah baru yang ganas dan biadab ini merupakan satu daripada sinar harapan bagi sebuah dunia baru yang adil yang sedang diperjuangkan oleh rakyat tertindas di seluruh dunia. Dunia ini pasti akan muncul tidak lama lagi. Turut memperjuangkan dunia baru yang adil ini, di barisan hadapan, ialah rakyat Amerika Syarikat di bawah pimpinan Lyndon H. LaRouche yang mengibar panji-panji humanisme dan universalisme berdasarkan ajaran Yahudi-Kristen asal dalam kitab-kitab Taurat dan Injil. Inilah orang-orang mukmin yang sebenar, seperti yang digambarkan dalam ayat 111, Surah 9, yang berbunyi: "Tuhan telah membeli daripada orang mukmin jiwa dan harta-benda mereka dengan Syurga. Mereka berjuang di jalan Allah, sanggup membunuh dan dibunuh. Demikianlah janji-Nya yang benar dalam Taurat, Injil dan Quran, dan janji siapakah yang lebih kukuh daripada Tuhan. Bergembiralah dengan pertukaran yang telah kamu lakukan. Itulah kejayaan yang paling besar." Bukan saja umat Islam telah menyeleweng dari ajaran Tuhan yang sebenar, dan menyebabkan mereka jatuh, kumpulan-kumpulan agama lain juga, termasuk Yahudi, Kristen, Hindu dan Budhis, juga telah terjatuh di bawah pengaruh ajaran falsafah kebendaan hedonis dalam masa tiga puluh tahun yang lalu. Oleh kerana itu, dunia lama yang bankrap ini sedang hancur dan tenggelam. Dunia ini mestilah kita gantikan dengan sebuah dunia yang aman dan adil, seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepada kita. Bahaya
Penjajahan Baru Kita
orang Melayu yang beragama Islam jangan alpa. Kaum penjajah baru
Inggeris-Amerika hendak menghangcurkan kita dan menjajah kita semula.
Mereka menggunakan orang-orang kita untuk mencapai tujuan mereka yang
jahat itu. Mereka menggunakan slogan-slogan "demokrasi",
"hak asasi", "korupsi" dan sebagainya untuk
memperdayakan kita. Kita tahu mereka tidak jujur. Dalam negara-negara
mereka sendiri, tidak ada demokrasi dan hak asasi yang mereka
propagandakan itu. Memang negara kita dan Kerajaan kita tidak sempurna,
tetapi yang layak membaiki negara kita dan Kerajaan kita bukan kaum
penjajah yang memusuhi kita, tetapi rakyat Malaysia dan kawan-kawan kita
dari seluruh dunia. Ada satu kumpulan dalam negara kita yang menggunakan agama Islam yang suci untuk mendapat pengaruh dan kuasa. Mereka sanggup menipu, membohong dan membuah fitnah. Ini amat merbahaya. Perpecahan bangsa kita sudah pun berlaku akibat angkara ini. Ini boleh membawa kepada pertumpahan darah dan campur tangan oleh kaum penjajah dan kita akan dijajah semula. Memperbaharu
Azam dan Meningkatkan Perjuangan Kita orang Islam berikrar tiap hari dalam sembahyang : "Katakanlah, 'Sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya. Inilah yang telah diperintahkan kepadaku dan akulah di antara mereka yang mula-mula tunduk.'" (6:162-63) Adalah tanggungjawab kita yang besar untuk menyedarkan rakyat kita tentang bahaya ini dan mendedahkan mereka yang telah membenarkan diri mereka diperalatkan oleh kaum penjajah baru ini dengan ajaran-ajaran Islam yang sebenar dalam Quran. Kita harap Kerjaan kita akan mengambil tindakan yang tegas terhadap segelintir rakyat kita yang sanggup mengkhianati bangsa kerana kepentingan diri dan kumpulan mereka. Saya harap dengan perjumpaan kita pada hari ini, kita akan memulakan suatu peringkat baru dalam gerakan kita. Kita mesti memperbaharu azam untuk melipat-gandakan perjuangan kita supaya kita boleh mencapai kejayaan dalam masa yang singkat. Firman Tuhan dalam Quran, "Tuhan berjanji kepada orang mukmin di antara kamu yang berbuat baik bahawa Dia akan menjadikan mereka raja di bumi, sepertimana yang telah Dia lakukan bagi mereka sebelum ini, dan menegakkan bagi mereka agama yang telah Dia redai untuk mereka serta mengwujudkan keamanan dan keselamatan bagi mereka menggantikan ketakutan. Semua ini kerana mereka menyembah Aku semata-mata tanpa mempersekutukan aku dengan apa-apa pun. Mereka yang kafir selepas ini benar-benar jahat." (24:55) Memang kita orang mukmin boleh jadi raja, bukan saja di tanahair kita Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Tetapi kita kenalah berjuang dengan jiwa-raga kita mengikut panduan yang telah Dia berikan kita dalam Quran. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada tetamu-tetamu kita yang datang untuk mengambil bahagian dalam forum pada malam ini dan juga dalam ceramahya pada besok pagi. Terima kasih juga kepada Yang Dipertuan pertubuhan WATANT, Sdr Abd. Wahid Abu Bakar, yang bekerjasama dengan kita untuk menganjurkan majlis forum. Tidak ketinggalan saya mengucapkan terima kasih kepada Sekretariat dan pekerja-pekerja kita yang telah bekerja keras untuk menjayakan Perjumpaan Tahunan kita yang penting tahun ini. Tuhan merestui kerja yang baik. Dengan
itu, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, saya
mengisytiharkan Perjumpaan Tahunan kita dibuka.
|